Pada zaman dahulu di dalam sebuah kampung, ada seorang
lelaki yang tinggal bersama dengan anaknya. Lelaki itu bekerja sebagai seorang
pencari kayu api. Setiap hari dia dan anaknya dengan ditemani oleh seekor
keldai akan memasuki hutan bagi mencari kayu api untuk dijual. Anaknya itu pula
mempunyai sikap yang tidak baik iaitu apabila dia menyuruh melakukan sesuatu
perkara, dia akan mencari berbagai alasan untuk menyanggah perintah ayahnya.
Dia malu kepada orang yang selalu mengejeknya sebagai
seorang pencari kayu api yang dianggap hina. Disebabkan itu dia kerapkali tidak
mahu mengikuti ayahnya apabila diajak bersama mencari kayu. Ayahnya pula sangat
dukacita dengan sikap anaknya itu yang suka mendengar kata – kata orang
berbanding dirinya sendiri.
Lelaki itupun cuba untuk menyedarkan anaknya. Suatu hari dia
seperti biasa mengajak anaknya mencari kayu api. Anak itu dengan berat hati
terpaksa juga menuruti kehendak ayahnya. Bersama keldainya mereka lalu berjalan
hinggalah sampai ke satu tempat di mana kelihatanlah sekumpulan wanita yang
sedang bersembang. Sebaik sahaja tiba di situ salah seorang daripada mereka
berkata: “ Apalah bodohnya mereka itu, ada keldai tetapi tidak digunakan untuk
tunggangan.”
Mendengarkan kata – kata itu dia lalu berkata kepada
anaknya: “ Hmm.. baiklah engkau naik sahaja keldai ini, biar ayah yang berjalan
di hadapan.” Setelah itu mereka berjumpa pula dengan sebuah warung yang
terdapat di dalamnya beberapa lelaki tua yang sedang makan dan minum.
Lalu salah seorang daripada mereka berkata: “ Sungguh kurang
sopan anak itu, adakah patut ayahnya yang sudah tua di suruhnya berjalan
sedangkan dia yang masih muda dan kuat sedap – sedap sahaja berada di belakang
keldai.”
Mendengarkan kata – kata lelaki itu ayahnya lalu berkata: “
Hmm.. baiklah anakku, biar aku pula yang naik dan kamu pula yang berjalan.” Di
pertengahan jalan mereka bertemu pula dengan sekumpulan anak muda yang sedang
bermain –main di satu padang. Salah seorang daripada mereka berkata: “ Sungguh
tidak patut lelaki itu, adakah patut dia seorang sahaja yang naik di belakang
keldainya sedangkan anaknya pula disuruh berjalan.”
Apabila mendengarkan kata – kata pemuda tersebut, lelaki
tersebut lalu berkata kepada anaknya: “ Marilah anakku kita sama – sama
menunggang keldai ini.” Lalu mereka berduapun sama – samalah menunggang keldai
tersebut hinggalah berjumpa pula dengan seorang petani yang sedang mencangkul
tanah di kebunnya.
Dia lalu berkata: “ Sungguh tidak patut kamu berdua
menzalimi binatang, adakah patut kamu berdua menaiki keldai yang kecil itu.
Tidakkah kamu berdua kasihan terhadapnya. ?
Akhirnya lelaki tersebut mencadangkan mereka berdua memikul
sahaja keldai tersebut. Dia lalu mencari sebatang kayu lalu di pancangkan di
celah kaki keldai yang sudah diikat. Selepas itu ayahnya berkata kepada
anaknya: “ Wahai anakku, selepas ini jika apapun kata orang kita mesti
meneruskan perjalanan kita. Nah ambil kapas ini dan sumbatkan telingamu supaya
kita tidak lagi mendengar sebarang kritikan dari sesiapapun.”
Kedua beranak itu lalu memikul keldai itu hinggalah berjumpa
dengan orang kampong yang tertawa melihatkan gelagat mereka. Namun mereka
berdua tetap memikul keldai tersebut tanpa memperdulikan apa jua kata orang
ramai hinggalah sampai ke tempat yang dituju.
Apabila sampai di tempat yang dituju kedua merekapun
melepaskan ikatan keldai tersebut lalu terduduk kepenatan. Lelaki itupun
berkata kepada anaknya: “ Itulah akibatnya anakku jika kita suka sangat menurut
kata orang. Engkau sendiri lihat tadi apa sahaja yang kita lakukan semuanya
salah. Ayah harap selepas ini ubahlah sikapmu, janganlah suka mendengar cakap
orang, akibatnya kita juga yang keletihan.”
Anak itu memahami bahawa ayahnya sengaja untuk mendidiknya
supaya tidak mendengar cakap orang sahaja. Apa yang kita lakukan semestinya
atas kehendak kita sendiri. Sekiranya apa yang kita lakukan itu perkara yang
membawa kebaikan hendaklah kita teruskan walaupun apa jua yang diperkatakan
orang.
Pengajaran daripada cerita ?
No comments:
Post a Comment